Tuesday, June 24, 2008

PENGGANTUNGAN ISA TAMAT


Ibu Pejabat Umno mengesahkan bahawa penggantungan keahlian TS Mohamed Isa Abdul Samad sebagai anggota Umno bagi kesalahan politik wang yang berkuatkuasa 24 Jun 2005, telah berakhir. TS Isa yang memenangi jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti 2004, sebelum didapati bersalah atas tuduhan itu, berkata beliau menerima surat daripada ibu pejabat Umno, Jumaat lepas yang memaklumkan penggantungan keahliannya berakhir hari ini.

Ditanya langkah seterusnya sama ada akan bergiat semula dalam politik termasuk bertanding pada pemilihan parti Disember ini, TS Mohamed Isa, yang menjadi MB Negeri Sembilan dari 1982 hingga 2004, berkata beliau belum membuat sebarang keputusan dan masih memikirkannya. Lembaga Disiplin Umno menggantung keanggotaan TS Mohamed Isa, 58, selama dua penggal atau enam tahun selepas mendapati beliau bersalah terhadap lima daripada sembilan pertuduhan politik wang semasa pemilihan parti pada 2004.

TS Mohamed Isa memenangi jawatan Naib Presiden Umno bagi penggal 2004/2007 dengan jumlah undian tertinggi iaitu 1,507 diikuti KM Melaka, DS Mohd Ali Rustam dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, TS Muhyiddin Yassin. Berikutan hukuman itu, TS Mohamed Isa turut digantung semua jawatannya dalam parti termasuk sebagai Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang.

Tempoh penggantungan keanggotaan TS Mohamed Isa kemudian dikurangkan dari enam tahun kepada tiga tahun selepas beliau mengemukakan rayuan pada 6 Julai 2005. Selepas digantung keahlian, TS Mohamed Isa telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan pada 17 Okt 2005.

1 comment:

Anonymous said...

x payah lah nk bertanding lagi pak cik tokey KHIN...kalau masih ader lagi caw calonkan pak cik tokey KHIN... ni tak tahu lah aku apa nk jadi UMNO.....jahanam beb....jahanam...